Selasa, 29 September 2009

Al-Quran, sumber penyembuhan segala penyakit.


Ramadhan adalah bulan al-Quran kerana al-Quran diturunkan di dalam bulan ini. Al-Quran diturunkan adalah untuk menjadi Penyembuh kepada pelbagai masalah hidup. Inilah antara hikmah penurunan al-Quran, sebagaimana disebutkan sendiri oleh al-Quran:

Dan Kami turunkan dari al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian. (maksud al-Quran 17:82).

Ayat surah al-Isra' di atas jelas menunjukkan bahawa al-Quran mengandungi sumber penyembuhan dan ia merupakan penawar kepada pelbagai penyakit dan masalah kehidupan manusia. Hal ini adalah manfaat yang dapat dinikmati oleh orang-orang yang beriman kerana merekalah yang percayakan al-Quran, merekalah yang membaca al-Quran dan merekalah yang menghayati al-Quran.

Apabila al-Quran menyebut tentang penawar atau sumber penyembuhan, tentulah ia merujuk kepada penyakit atau masalah yang menjadi punca kepada kehidupan yang tidak sihat. Penyakit ini pula tentulah bersifat holistik meliputi penyakit fizikal, emosional dan spiritual. Oleh itu sumber panawar ini tentulah sesuatu yang sangat berharga kepada semua perawat penyakit manusia termasuk para doktor, perawat fizikal, psikiatris (pakar sakit mental/sakit jiwa), kaunselor, pendidik dan sebagainya.

Al-Quran mengandungi banyak ayat-ayat shifa yang dianggap ayat-ayat yang boleh digunakan secara langsung sebagai penawar terutama dalam perawatan Ruqiyah, iaitu kaedah rawatan Islamik yang menggunakan ayat-ayat al-Quran dalam rawatannya. Salah satu ayat yang menjadi penawar (baik sebagai ubat untuk kesembuhan atau sebagai pencegahan) ialah kalimat taawwuz - A'uzubilLah.

Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Quran 7:200).


Penyakit mental, penyakit emosi adalah jenis-jenis penyakit yang berkaitan dengan hal metafizik atau hal-hal ghaib yang tidak dapat ditangani secara fizikal. Kaedah Ruqiyah menangani masalah-masalah begini dengan menggunakan sepenuhnya ayat-ayat al-Quran sebagai doa dan ikhtiar memohon pertolongan ALlah SWT.

Selain ayat-ayat shifa, terdapat juga ayat-ayat yang secara jelas menyarankan kaedah pemakanan (rawatan fizikal) yang disebut dengan khusus, seperti ayat tentang madu.

Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. (maksud al-Quran 16:69).

Selain dari itu banyak lagi ayat-ayat yang menyentuh aspek perawatan yang disebut secara umum, yang memerlukan penelitian dan kajian lanjut untuk memahaminya. Salah satu bahan penyembuh yang paling mujarab yang banyak sekali disebut oleh al-Quran ialah air. Air kini sudah diakui sebagai salah satu bahan utama penyembuhan, sungguhpun umumnya orang melihat air sebagai minuman sahaja. Air digunakan sebagai medium penyembuhan baik melalui doa atau digunakan dalam pelbagai jenis terapi alternatif. Dalam rawatan moden air digunakan sebagai cecair utama untuk suntikan IV dan rawatan dialisis (cuci darah untuk pesakit buah pinggang). Sementara itu kebanyakan ubat dilarutkan dalam air menjadi ubat minum. Dalam perawatan alternatif air digunakan untuk mandi, rendaman dan sebagainya. Dalam perawatan kaedah SPA, air digunakan sepenuhnya sebagai medium penyembuhan seperti mandi sauna, jakuzi dan mandi dingin atau mandi ais.



Lebih utama lagi, al-Quran adalah sumber penyembuhan kepada masalah jiwa, masalah batin manusia. Al-Quran diturunkan untuk mengeluarkan kehidupan manusia dari kegelapan kepada cahaya. Pengertian fakta itu sangatlah mendalam dari aspek perawatan masalah jiwa dan masalah spiritual manusia. Ancaman penyakit ini sangatlah parah. Berapa ramai orang yang hidup menderita secara ruhaniah. Mereka menderita masalah jiwa, masalah emosi, biarpun fizikalnya mereka kelihatan normal dan sihat. Bertambahnya penderita-penderita penyakit mental yang parah membuktikan betapa ramai orang yang mengalami masalah ruhaniah. Selain itu gejala dadah dan penggunaan ubat penenang yang begitu meluas membuktikan betapa ramai penderita masalah ruhaniah. Mereka bergantung dengan dadah dan ubat-ubat penenang untuk meringankan beban penderitaan jiwa. Ini menjadi gejala yang sangat lumrah dewasa ini.

Kaedah rawatan menggunakan bahan ubatan tidak berkesan kerana penyakit dalam kategori ini bukanlah penyakit fizikal, tetapi penyakit dalaman, penyakit ruhaniah. Masalah tekanan atau stres yang dideritai oleh orang-orang moden adalah refleksi daripada kekosongan ruhaniah. Mereka memerlukan penawar yang bersifat ruhaniah juga, bukan penawar dalam bentuk ubat penenang. Mereka memerlukan rawatan metafizik, rawatan daripada perawat yang boleh membimbing mereka memahami aspek ruhaniah secara benar. Di sinilah peranan dan fungsi al-Quran sebagai penyembuh, yang dijelaskan oleh ayat al-Quran di atas.



Satu hal penting yang kita perlu akur ialah fakta bahawa penyakit dan kesembuhan adalah datangnya daripada Tuhan. Dia-lah Penyembuh hakiki. Doktor, perawat atau ubatan hanyalah berusaha dan berikhtiar membantu seseorang mendapatkan kesembuhan tetapi kesembuhan ditentukan Allah SWT. Kita perlulah optimis dan yakin dengan sangka baik kepada Tuhan, dalam hal kesembuhan ini. Penyakit yang kita deritai adalah sebahagian daripada dugaan dan ujian dari Tuhan. Maka mencari kesembuhan adalah ikhtiar (yang wajib dilakukan) untuk keluar daripadanya. Sentiasalah imani fakta ini: bahawa Tuhan itu bersifat Rahman (pengasih dan pemberi rahmat) dan Dia juga Penyembuh:

Hai manusia, telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi peyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. (maksud al-Quran 10:57).

Dan Tuhanku, yang Dia memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku. (maksud al-Quran 26:79-80).

Tulisan Afifi Ahmad dari blognya: zidniiman.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan