Isnin, 28 September 2009

Kesihatan daripada puasa.


Satu daripada hadiah besar yang dianugerahkan oleh Ramadhan ialah hikmah kesihatan. Dengan berpuasaa sebulan kita menjadi lebih sihat. Sedarkah kita fakta ini? Sebulan menahan diri daripada makan minum sepanjang siang, melatih diri supaya mendisiplinkan diri dari aspek kesihatan.

Sebenarnya hal yang paling sulit untuk menjaga kesihatan ialah urusan mendisiplinkan diri. Pengalaman kami bepuluh tahun berkhidmat dalam sektor kesihatan, menunjukkan dengan jelas bahawa masalah penyakit yang dihidapi sangat berkait rapat dengan sikap seseorang khususnya disiplin diri mereka. Kebanyakan pesakit yang mengalami gejala kronik adalah mereka yang sukar mengawal dan mendisiplinkan diri sendiri. Percayakah anda bahawa ramai pesakit yang kini sedang menderita pelbagai gejala penyakit adalah orang yang sangat sulit untuk mengambil ubat. Entah apa yang mereka takuti pada ubat sehingga mereka harus dipaksa menelan ubat oleh ahli keluarga masing-masing. Di samping itu ramai yang tidak pedulikan masalah penyakitnya, tidak mahu berusaha berjumpa doktor mendapatkan rawatan. Hakikatnya mereka sayangkan penyakit yang mereka miliki, malah ada yang berbangga dengan penyakit mereka. Aneh bukan?

Kita melihat sendiri hari ini semakin ramai pesakit yang berakhir dengan mesin dialisis. Buah pinggang mereka rosak dan tidak lagi berfungsi sehingga terpaksa bergantung kepada mesin dialisis untuk tempoh sepanjang hayat. Sedih dan menyedihkan. Semakin hari semakin ramai pengguna mesin ini. Mesin dialisis tidak boleh merawat masalah kesihatan mereka, mesin tersebut hanya membantu fungsi buah pinggang sahaja. Kebanyakan mereka ini adalah pengidap dua jenis penyakit yang banyak dihidapi orang Malaysia (mungkin juga di seluruh dunia) iaitu diabetes dan hipertensi, juga gout.

Oleh kerana di peringkat awal mereka tidak merawat gejala-gejala penyakit ini, mungkin kerana tidak sedar, tidak ambil berat, tidak pedulikan kesihatan sendiri; akhirnya penyakit-penyakit ini membawa mereka kepada komplikasi berat iaitu kerosakan fungsi buah pinggang. Lebih menyedihkan lagi apabila kedapatan anak-anak remaja yang sudah rosak buah pinggangnya akibat hipertensi. Apabila disusuri ke belakang, ternyata remaja-remaja ini mengalami hipertensi luar biasa akibat pengambilan makanan segera berlebihan, tanpa kawalan.


Satu kes benar yang menimpa seorang remaja yang baru mendaftar diri ke universiti. Doktor mengesahkan dia mengalami kerosakan buah pinggang dan terpaksa menjalani rawatan dialisis. Bayangkan bagaimana si remaja ini terpaksa menghabiskan hayatnya dengan mesin dialisis (selagi tidak menjalani gantian organ). Berapa tahun terpaksa ditempuh? Jawabnya sepanjang hayat.

Kes di atas terjadi akibat tekanan darah tinggi luar biasa (kebiasaan remaja jarang mengalami hipertensi begini). Apabila disiasat, didapati remaja ini terlalu ghairah dengan makanan segera. Mungkin kerana sudah didedahkan sejak kecil oleh ibu bapa sendiri, akibat kemewahan dan juga kesibukan ibu yang tidak punya waktu menyediakan sarapan untuk si anak.

Mengambil hikmat puasa, kita perlu sedar bahawa sebahagian besar penyakit adalah berpunca daripada makanan yang kita ambil. Bercakap tentang penyakit adalah bercakap tentang makanan sebenarnya. Tetapi soal makanan bukanlah soal kecil. Walaupun setiap hari kita makan, sehingga 'makan minum' adalah satu hal yang sangnat biasa dalam hidup kita; namun di sebaliknya sikap kita terhadap makanan sangatlah dominan dan berpengaruh. Mendisiplinkan diri tentang makanan adalah satu sikap yang sanagat baik tetapi satu hal yang sukar dilakukan oleh kebanyakan orang.

Apabila Nabi SAW mengajak kita berpuasa kerana berpuasa menjadikan kita sihat, di situ terdapat kebijaksanaan luar biasa terhadap disiplin diri berkaitan tabiat makan. Mengawal makan bukan senang dilakukan. Ianya memerlukan disiplin dan sikap positif. Ramai pesakit yang sanggup menelan berpuluh biji pil ubatan sehari, namun tidak ramai yang sanggup mengawal dan menjaga makanannya. Tanpa kawalan makanan, ubat yang diambil tidak banyak membantu. Sebaliknya, jika mengawal makanan dapat dijadikan tabiat, banyak penyakit dapat disembuhkan tanpa perlu bermacam ubatan.


Sebenarnya kalau orang sakit tahu, disiplin diri (mengawal makanan) adalah kaedah rawatan paling murah dan paling mujarrab. Berpuasalah, dan sesudah itu pergilah ke klinik buat pemeriksaan kesihatan anda. Pastinya tekanan darah akan menurun, kandungan gula akan menurun, kandungan asid urik juga rendah. Ini satu fakta kesihatan yang tidak boleh diremehkan. Satu hal yang kami perhatikan, di bulan Ramadhan jumlah kes pesakit sangat berkurangan. Sebaliknya sesudah Syawal, pesakit mula ramai ke klinik. Hal ini tentulah sangat rapat kaitannya dengan makanan.

Benarlah apabila Tuhan mengingatkan kita: mungkin perkara yang kamu benci tetapi ia adalah baik kepadamu, dan mungkin perkara yang kamu suka tetapi ia adalah buruk bagimu (maksud al-Quran 2:216). Kita suka kepada makanan sehingga berlebihan-lebihan padanya. Padahal makanan itulah yang menyebakan kita menderita sakit. Kita benci kepada disiplin diri, berpantang makan, menahan nafsu dan berpuasa; padahal itulah yang terbaik untuk kita hindari penyakit.

Kita berdepan dengan ujian perit di bulan Syawal ini, iaitu menahan nafsu ketika berhadapan dengan hidangan mewah rumah terbuka yang akan terus berlangsung sepanjang sebulan. Di sinilah disiplin diri penting. Rumah terbuka wajib dihadiri untuk meraikan undangan, tetapi jamahlah makanan sekadarnya.

Rencana ini ditulis oleh Afifi Ahmad dari Zidniiman.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Komen