Ahad, 21 Jun 2009

Kelebihan Dan Manfaat VCO


Sebagai seorang doktor perubatan, saya juga seperti rakan-rakan lain agak berhati-hati dengan pelbagai produk kesihatan yang didakwa mempunyai kesan teraputik. Sungguhpun saya cenderung bersikap ter-buka, namun profesion mengajar kami supaya tidak menerima sesuatu tanpa bukti-bukti empiris.

VCO adalah gejala baru kepada saya. Ketika memperkenalkan VCO kepada saya, Haji Afifi (penulis buku ini) menyerahkan sejumlah dokumen dan beberapa buah buku mengeni VCO kepada saya. Beliau meminta saya meneliti dan berkongsi pandangan saya mengenainya. Kebanyakannya adalah tulisan pakar nutrisi dan ahli kesihatan antarabangsa. Kesungguhan beliau menyebabkan saya terpanggil untuk meneliti bahan-bahan tersebut. Setelah membaca dan cuba memahaminya, saya baru faham apa sebenarnya VCO dan apa pula kaitannya dengan khasiat medisnya.

Untungnya saya kerana saya telah lebih sepuluh tahun menggunakan sumber-sumber herba dalam rawatan di klinik saya sebagai komplemen kepada ubat drug. Pengalaman menggunakan herba meyakinkan saya kepada bahan-bahan alami yang kaya dengan khasiat perubatan. Di samping itu saya melihat sendiri bagaimana penderita penyakit-penyakit degeneratif beransur pulih setelah dibantu dengan herba-herba ini. Pengalaman-pengalaman ini sukar untuk saya tolak dengan alasan apa pun, kerana setiap masa saya menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri bagaimana penyakit-penyakit serius dapat dipulihkan kembali dengan rawatan herba-herba terpilih. Dengan izin Tuhan, saya telah berusaha menyelamatkan beberapa orang pengidap diabetes daripada menjalani amputasi. Begitu juga dengan kes fibrosis, ketumbuhan, malahan kanser. Bukti-bukti klinikal saya menunjukkan betapa kes-kes yang selama ini dianggap incurable masih boleh disembuhkan, asalkan kita bersikap terbuka dan mencari kaedah-kaedah pelengkap kepada cara moden sedia ada.

Apabila saya diperkenalkan kepada VCO, saya mula serius untuk menelitinya. VCO sebagai bahan alami yang selama ini menjadi makanan harian kita sudah pasti bebas daripada efek-efek sampingan. Itulah persepsi awal saya terhadap VCO. Sebagai anak kampung sejak kecil saya memasak menggunakan kelapa. Jadi apa yang hendak diragukan mengenainya. Kelapa sebagai sumber nutrisi kita selama ini, sudah sangat terbuka. Ia bukan seperti sesetengah herba yang baru ditemui, yang mana banyak kajian perlu dilakukan untuk mencari apakah kesan-kesan sampingannya. Orang-orang tua kita dahulu mempercayai bahawa kelapa mempunyai kesan untuk rawatan kepada beberapa jenis penyakit. Air kelapa muda digunakan sebagai penawar keracunan, dan penawar panas badan. Kelapa juga dibuat minyak terutama minyak urut. Kita rata-rata menggunakan minyak kelapa sebagai minyak urut. Hari ini pun minyak kelapa masih menjadi bahan utama atau bahan asas kepada industri minyak urut.

Akhirnya saya meneliti tulisan Dr Bruce Fife, Dr Murray Price, Ph. D., Dr Mary G Enig dan lain-lain. Fakta-fakta yang mereka kumpulkan telah membuka fikiran saya. Rupa-rupanya minyak kelapa asli atau VCO ini mempunyai kekuatannya tersendiri. Sumber MCFA atau lemak tepu rantai sederhana dalam VCO adalah bahan yang bersifat anti bakteria, anti virus, anti fungal dan anti protozoa. Secara mudahnya kita boleh menggunakannya untuk merawat gejala-gejala penyakit yang disebabkan oleh bakteria, virus, yeast, fungi dan protoazoa. MCFA juga menjadi sumber tenaga mudah dan ia bagus untuk proses menurunkan berat badan bagi orang yang obes. MCFA juga diserap ke dalam sel menjadi tenaga tanpa sokongan insulin, jadi ia bagus untuk pengidap diabetes.

Hujah-hujah saintifik terutama fakta nutrisi sangat banyak untuk saya kemukakan berkaitan dengan VCO ini. Tentulah saya tidak boleh menulis di sini. Saya fikir fakta-fakta ini sangat baik untuk dibincangkan, terutama di kalangan profesional supaya kita dapat melihat prospek VCO, yang saya yakin mampu dijadikan satu sumber alternatif untuk merawat penyakit.


Sebahagian daripada Pendahuluan Buku Kelebihan Dan Manfaat VCO, oleh Dr. Julidar Alias, M.D.



Buku ini boleh didapati dari syarikat dengan menghubungi no telefon 03-87344515 atau 019-4164849 Harga RM 15.00 seunit (tidak termasuk kos penghantaran).

Rencana ini dipetik daripada Buletin Hi-Bloom.

Tiada ulasan:

Catat Komen